14 Jun 2008

Majlis Ijab Kabul Episod 2

Masjid Al Mukminun USJ 2 bakal mengukir satu lagi sejarah apabila Majlis Ijab Kabul diantara Hajjah Shahriyatul Akmal binti Haji Abdul Rahman dengan pasangan pilihan hatinya Midhat Murthada bin Dato' Haji Ahmad Salimi. Segala persiapan rapi telah dibuat bagi memastikan kelancaran majlis tersebut semenjak malam sebelum berlangsungnya majlis. Dengan keadaan cuaca yang cerah dan matahari yang menyinari pagi dengan siulan dan kicauan burung seperti bersama meraikan hari Sabtu 14 Jun 2008 itu, kedamaian pagi itu merupakan satu anugerah dari yang Esa. Suasana yang nyaman itu bagaikan berada di suatu kawasan peranginan, suasana yang sungguh indah dan mengasyikkan.

Suasana di dalam masjid telah dihias indah umpama balairong seri istana dengan susunan serba kuning peterana dan tikar sila serta hamparan panjang kain baldu bertatahkan bunga emas dan tekat berbenang emas hasil tenunan tangan dari Negeri Perak. Jika sebelum ini hanya hamparan permaidani biru berbelang kuning menghiasi lantai Dewan Solat Utama, tetapi hari ini suasana dalaman dewan tersebut telah berubah wajah hasil sentuhan Cik Rozalinda Osman dan tenaga kerjanya. Peterana kuning yang terletak berhampiran dengan mimbar masjid bakal menjadi tempat duduk bagi pengantin perempuan, manakala tikar sila atau chior bakal menjadi tempat duduk bagi pengantin lelaki semasa upacara ijab kabul dizahirkan. Tepak sirih yang merupakan salah satu elemen penting didalam sesebuah majlis ijab kabul juga telah diletakkan di bahagian hadapan majlis, sedondon dengan peterana dan tikar sila serta hamparan baldu. Tepak sirih tersebut juga adalah sebagai tanda penerimaan tetamu yang bertandang dan kesinambungan daripada Majlis Meminang yang telah dijalankan pada 6 Januari 2008. Bagi kebanyakan orang, penggunaan peterana jarang sekali digunakan dalam majlis ijab kabul yang diadakan di ruang solat utama masjid. Akan tetapi, ia merupakan tempat yang khusus bagi pengantin perempuan duduk semasa upacara ijab kabul berlangsung.


Ketibaan pengantin perempuan dengan kenderaan khas telah disambut oleh Pengerusi Urusetia Khas Majlis dan kemudiannya ditempatkan di dalam sebuah bilik menunggu khas, sebelum bermulanya majlis dan sementara menunggu kehadiran tetamu serta rombongan pengantin lelaki. Dalam pada itu juga satu perbincangan telah berlangsung diantara Pengerusi Urusetia Khas Majlis dengan Al-Fadhil Ustaz Amir Noor Hezam bin Amir Edaham yang juga adalah perantara semasa majlis berlangsung kelak. Majlis perbincangan itu telah berlangsung kira-kira 20 minit dengan disaksikan oleh bonda dan pengantin perempuan sendiri. Perbincangan yang melibatkan susunan aturcara majlis dan beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum majlis bermula sekiranya terdapat sebarang pertukaran disaat akhir. Sementara menantikan ketibaan para tetamu dan juga rombongan pengantin lelaki, para jejawat dan dayang-dayang bersiap sedia dengan mengenakan busana yang direka khas untuk majlis ijab kabul ini. Raptai penuh juga telah diadakan sebelum bermulanya majlis.



Ketibaan rombongan pengantin lelaki, dengan dimulakan oleh perarakan berkereta dan disusuli oleh pembawa barang hantaran. Setibanya rombongan di perkarangan masjid, pengantin lelaki serta rombongannya disambut oleh wakil keluarga pengantin perempuan dan seterusnya barangan hantaran disambut oleh para jejawat yang menunggu di ruang legar masjid. Rombongan pengantin lelaki kemudiannya dibawa masuk kedalam dewan solat utama, dengan diketuai oleh bapa pengantin lelaki selaku ketua rombongan. Ucapan alu-aluan daripada pihak pengantin perempuan sebagai pembuka tirai majlis telah disempurnakan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Arshad bin Haji Ahmad selaku wakil keluarga pengantin perempuan sebagai mengalukan kehadiran rombongan pengantin perempuan. Seterusnya ucapan balas oleh Y.Bhg. Dato' Haji Ahmad Salimi bin Haji Ismail, selaku ketua rombongan pengantin lelaki. Didalam ucapannya beliau ada menyatakan mengenai jumlah mas kahwin dan wang hantaran, berserta 11 dulang barangan hantaran yang dibawa bersama sebagai bingkisan daripada pihak pengantin lelaki. Wang tunai sebanyak RM1000.00 yang digubah menjadi sejambak bunga ros, berserta sekeping cek bernilai RM9000.00 bersama sebentuk cincin dan seutas gelang yang bertatahkan permata. Selesai ucapan balas, para jejawat memulakan langkah membawa masuk barang hantaran dan diletakkan dihadapan keluarga pengantin perempuan. Manakala dayang-dayang pembawa hantaran membawa masuk 15 dulang barang hantaran balasan dan diletakkan dihadapan keluarga pengantin lelaki. Susunan perarakan masuk barang hantaran dengan dibawa oleh para jejawat dan dayang-dayang yang lazimnya digunakan oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja, telah menjadikan majlis ijab kabul tersebut lebih teratur dan menarik. Dilengkapi dengan busana sedondon dan ditambah pula dengan pemakaian sibar dayang berwarna kuning, para jejawat dan dayang yang membawa hantaran kelihatan seperti jejawat dan dayang istana. Oleh kerana barangan hantaran yang banyak, maka para jejawat dan dayang-dayang terpaksa meletakkan hantaran berselang seli dan setiap hantaran dan sirih junjung dikenali sebagai kepala hantaran.





Seterusnya pengumuman ketibaan Al-Fadhil Ustaz Khairul Jahrin bin Nasri, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Selangor, bapa pengantin perempuan selaku wali dan para saksi turut mengambil tempat masing-masing. Seterusnya keberangkatan masuk pengantin lelaki dengan memakai baju melayu putih sedondon dan bersampin songket putih seterusnya duduk diatas tikar sila yang telah tersedia. Akhir sekali, keberangkatan masuk pengantin perempuan dan duduk diatas peterana dengan diiringi oleh pengapit pengantin perempuan. Majlis dimulakan dengan khutbah nikah oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Selangor. Selesai khutbah nikah, majlis ijab kabul di mulakan.
Dengan sekali lafaz,



"Saya terima nikahnya Shahriyatul Akmal binti Abdul Rahman, dengan mas kahwinnya Satu Ribu Ringgit tunai".

Maka rasmilah sudah pasangan pengantin menjadi suami isteri. Selesai sahaja majlis ijab kabul, berkumandanglah selawat dan seterusnya bacaan doa telah dizahirkan. Sebaik sahaja selesai bacaan doa, pengantin lelaki membaca ikrar takliq dan menurunkan tandatangan diatas borang ikrar tersebut. Kemudian pengantin lelaki bersalaman dengan bapa mertua, jurunikah dan saksi. Pengantin lelaki melangkah keluar ke ruang solat untuk menunaikan solat sunat, sementara itu ayahanda dan bonda menarik nafas lega kerana satu upacara penting dalam diari hidup mereka tatkala anakanda puteri telah selamat diijab kabulkan. Segala tanggungjawab ayahanda dan bonda, kini telah beralih kepada suaminya. Dengan doa restu dari kedua belah keluarga, diharapkan agar hubungan perkahwinan yang dijalinkan ini akan berkekalan sehingga akhir hayat mereka. Insyaallah.

Majlis Ijab Kabul Episod 1

Majlis pada pagi itu bermula seawal jam 7:00 pagi dengan persiapan diri serta proses andaman oleh Puan Ashikin Aziz aka Kak Ikin. Proses yang telah berlangsung selama lebih kurang 2 jam itu telah membuahkan hasil yang terbaik dan segala transformasi telah dilaksanakan. Proses mengandam dimulakan dengan potong andam dan seterusnya proses bersolek. Memanglah satu proses yang agak memenatkan, akan tetapi demi untuk sesuatu yang terbaik, segala proses tersebut telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan daripada sesiapa. Memang satu pengalaman yang pasti takkan dapat dilupakan kerana setelah sekian lama menunggu tarikh tersebut, segala yang dirancang bakal terlaksana pada hari ini. Semua ahli keluarga juga sibuk menyiapkan diri masing-masing bagi menyaksikan detik bersejarah bagi keluarga kami kerana pada tika dan saat ini salah seorang daripada anakanda Haji Abdul Rahman dan Hajjah Halimah akan melangkah menuju gerbang perkahwinan. Proses bersolek yang telah dibuat dengan penuh kesabaran dan ketelitian, telah menghasilkan satu perbezaan yang amat ketara.

Setelah selesai menjalani proses andaman dan solekan, bonda tersayang adalah orang pertama yang melihat segala perubahan yang telah dilakukan dengan jayanya, dengan linangan air mata bonda mengucapkan rasa syukur dan sama sekali tidak menyangka bahawa puteri kesayangannya bakal menjadi seorang isteri dan juga suri tidak lama lagi. Hati ibu mana yang tidak tersentuh tatkala melihatkan anakanda yang selama ini menjadi teman berbicara akan dimiliki oleh jejaka pilihan hati. Senyuman yang terukir di wajah tulus bonda menandakan beliau amatlah berpuas hati segala yang telah dilakukan. Kasih sayang seorang ibu memanglah tiada batasannya walaupun sehingga akhir hayatnya. Wajah yang telah dihias bagaikan permaisuri dan disaluti dengan baju kurung chiffon berwarna putih berserta tudung bermanik dan layah menghiasi kepala hasil sentuhan Radzuan Radziwill. Inai merah menghiasi jari jemari dan tangan adalah sebagai tanda, seorang perawan bakal diijab kabulkan.

Debaran semakin dirasakan dengan dipimpin oleh bonda, selangkah demi selangkah disusuri anak tangga sebelum melangkah keluar menuju ke kenderaan khas yang telah lama dan setia menanti untuk dinaiki dengan dipandu sendiri oleh ayahanda tercinta sebagai simboliknya perjalanan ini sebelum bergelar seorang isteri. Jika sebelum ini, anakanda puteri buat ayahanda dan bonda tetapi sebentar lagi status Cik pada awalan nama akan bertukar kepada Puan..... Seperti masih di alam mimpi seorang anak kecil yang masih bersekolah dan berbasikal riang tanpa memikirkan soal jodoh dan melalui hidup berumahtangga. Masih terasa langkah-langkah kecil, apabila pagi hari menuruni tangga ini melangkah untuk ke sekolah dengan berbekalkan sebuah beg dan berbaju kurung putih berkain biru. Tetapi pagi 14 Jun 2008, langkah-langkah ini adalah langkah terakhir bergelar puteri perawan kerana sekembalinya lagi meniti tangga ini beliau telah bergelar isteri.

Semuanya adalah seperti yang telah dirancang, kenderaan khas terhias indah dengan untaian riben dan bunga-bungaan segar yang harum mewangi dikala mentari pagi baru menampakkan dirinya dan masih terbau kesegaran embun yang menitis dihujung rumput dihalaman rumah bonda. Tenang sungguh wajah ayahanda dan dengan setianya menantikan kehadiran anakanda puteri untuk dibawa pergi dan selepas ini akan kembali bersama teman sehidup semati yang bergelar suami. Seperti baru semalam dirasakan oleh ayahanda menimang anakanda puteri penghibur hati, teman bergelak ketawa dengan keletah yang lincah meniti gigi pantai tanpa berasa takut. Senyuman yang terukir di bibir ayahanda umpama menyembunyikan rasa gundah yang terbuku dihati.

Bunyi deruman enjin telah jelas kedengaran, lantas semakin cepat rasanya masa berlalu pergi kerana sebentar lagi akan melangkah menaiki kereta yang terhias indah itu. Seluruh tubuh dirasakan seperti kedinginan akan tetapi semangat perlu dikuatkan kerana setiap detik yang berlalu itu umpama tidak sabar lagi untuk pergi. Kereta BMW Z4 berwarna hitam yang telah dihias indah dengan bunga mawar putih telah bersedia untuk memutarkan rodanya setelah bakal pengantin perempuan melangkah masuk dan duduk di tempat sebelah ayahanda tercinta. Dengan senyuman ayahanda menyambut dan dengan penuh ketenangan, ayahanda memulakan perjalanan menuju destinasi Majlis Ijab Kabul iaitu Masjid Al-Mukminun.

Ditinggalkan kamar peraduan yang telah terhias indah yang bakal menyambut kehadiran suami tercinta. Cadar sutera berwarna putih bersih dengan diselangi dengan bantal tekat benang emas warisan pusaka Negeri Perak bakal menyimpan satu kenangan terindah bersama orang yang teramat dicintai. Jelas terasa haruman kuntuman mawar yang menghiasi segenap ruang kamar peraduan, untaian daun ivy menghiasi bingkai bunga. Ketenangan kamar peraduan itu bagaikan menyambut kehadiran sepasang merpati yang bakal menghuni untuk bermadu kasih melepaskan rindu dendam yang telah sekian lama terpendam.

04 Februari 2008

Mesyuarat Meletak Kerja

Mesyuarat Meletak Kerja telah diadakan pada 2 Febuari 2008 jam 10:00 pagi bertempat di Restoran Halia, Pusat Konvensyen Sime Darby. Mesyuarat tersebut telah di pengerusikan oleh Encik Shahronizam Idham selaku Pengerusi Urusetia Majlis Perkahwinan merangkap abang kepada bakal pengantin perempuan. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Y.Bhg Puan Hajjah Halimah ibu bakal pengantin perempuan, Cik Hajjah Shahriyatul Akmal bakal pengantin perempuan, Encik Midhat Murthada bakal pengantin lelaki, Encik Muhammad Safiuddin Farhan ahli jawatankuasa khas Majlis Perkahwinan, Cik Rozalinda dari Roza Decor, Encik Zulkifli dari Ereka Creations, Encik Heintje Nazaruddin dari Heintje Couture, Encik Mufriz dari SDCC dan Puan Dalina dari Dalina Master of Ceremony.
Mesyuarat tersebut adalah untuk membincangkan mengenai persiapan Majlis Perkahwinan Akmal & Thada, segala contoh bagi jumlah hantaran, bilangan tetamu, cenderahati bagi tetamu khas, jenis persembahan tarian, pelamin, hiasan dewan, pintu masuk utama, perarakan masuk pengantin, teks ucapan juruacara majlis dan sebagainya telah dikemukakan didalam mesyuarat tersebut. Semua sebutharga bagi segala barangan juga telah dibincangkan, segala susun atur perjalanan majlis juga telah dibincangkan bersama bagi memastikan perjalanan majlis berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan. Mesyuarat tersebut juga telah berakhir pada jam 12:30 tgh hari dengan diakhiri oleh sesi lawatan ke sekitar tempat majlis bakal berlangsung.

06 Januari 2008

Majlis Meminang

Majlis Meminang telah selamat diadakan pada 6 Januari 2008 jam 3 petang, majlis tersebut telah diadakan di No 71, Jalan USJ 2/1, UEP Subang Jaya. Dengan dihadiri oleh keluarga kedua belah pihak, termasuk Y.Bhg Ustaz Haji Arshad dan Y.Bhg Ustazah Hajjah Kamaliah sebagai wakil kepada pihak perempuan. Rombongan pihak lelaki tiba pada jam 3.15 petang dengan membawa 7 dulang hantaran termasuk sepersalinan "melangkah bendul" kepada abang bakal pengantin perempuan, berserta tepak sirih.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu aluan oleh Y.Bhg Ustaz Haji Arshad kepada rombongan pihak lelaki yang diketuai oleh Y.Bhg Dato' Haji Ahmad Salimi. Ucapan balas telah disempurnakan sendiri oleh Y.Bhg Dato' dan menyatakan hajat serta tujuan kedatangan kepada keluarga pihak perempuan. Setelah selesai menyatakan hajat, maka pihak perempuan yang telah diwakili oleh Y.Bhg Ustaz dan Ustazah menerima dengan kedatangan dengan secara simboliknya membuka tepak sirih menanti yang telah tersedia. Maka setelah perbincangan dijalankan, kedua belah pihak bersetuju dengan segala cadangan, hantaran bagi Majlis Perkahwinan pihak perempuan telah meminta sebagai hantaran seikhlas hati kerana tiada jumlah wang yang ditetapkan. Akan tetapi mas kahwin bagi Majlis Pernikahan nanti adalah sebanyak RM1000.00 tunai. Sebanyak 9 dulang hantaran sebagai balasan bagi pihak lelaki termasuk 2 persalinan "melangkah bendul" kepada abang dan kakak kepada bakal pengantin lelaki. Kebanyakan hantaran tersebut merupakan manisan serta buah-buahan dan sepersalinan berwarna putih susu bagi bakal pengantin lelaki termasuk sehelai kain songket. Kesemua hantaran tersebut adalah seperti gambar yang tertera diatas, hantaran balasan bagi pihak perempuan merupakan "hantaran express" kerana semua hantaran tersebut hanya disiapkan pada malam sebelum majlis meminang tersebut oleh abang bakal pengantin perempuan sendiri yang juga merupakan perancang majlis atau lebih glamour disebut sebagai "The Wedding Planner".....
Selesai segala perbincangan, majlis menyarungkan cincin telah disempurnakan oleh ibu bakal pengantin lelaki dikamar peraduan bakal pengantin perempuan. Sebentuk cincin emas belah rotan telah disarungkan ke jari manis bakal menantu dengan disaksikan oleh kaum keluarga kedua belah pihak. Majlis Meminang tersebut telah diakhiri dengan bacaan doa oleh Y.Bhg Ustaz Haji Arshad sendiri dan jamuan minum petang, jamuan minum petang tersebut adalah dari Party Planner Catering. Diantara menu pada petang itu adalah Kambing Panggang, Mihun Goreng, Kuih Bakar, Kuih Koci, Roti Jala dan Buah-Buahan.

Majlis pada petang itu juga diserikan lagi dengan kehadiran saudara-mara serta jiran tetangga yang turut sama meraikan Majlis Meminang tersebut. Sebelum majlis berakhir, sesi bergambar bagi bakal pasangan pengantin bersama keluarga dan juga bersama barangan hantaran yang telah dibawa dan balasan hantaran tersebut. Syukur alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan sebaik majlis berakhir hujan rahmat turun mencurah-curah membasahi bumi. Insyaallah, Majlis Ijab Kabul dan Majlis Persandingan Hajjah Shahriyatul Akmal binti Haji Abdul Rahman dengan Midhat Murthada bin Dato' Haji Ahmad Salimi akan dizahirkan pada bulan 14 dan 15 Jun 2008. Semoga berkekalan hendaknya hingga ke akhir hayat. Majlis Ijab Kabul insyaallah akan diadakan di Masjid Al-Mukminun USJ 2 pada 14 Jun 2008 jam 10.00 pagi manakala Majlis Persandingan insyaallah akan diadakan di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada 15 Jun 2008 jam 8.30 malam.

Pengenalan

Assalamualaikum...

Sepatah kata dari kami sempena Majlis Perkahwinan kami yang bakal menjelang, alhamdulillah segala persiapan bagi majlis tersebut berjalan dengan lancar. Diharap segalanya akan terlaksana seperti yang telah dirancangkan.