Majlis pada pagi itu bermula seawal jam 7:00 pagi dengan persiapan diri serta proses andaman oleh Puan Ashikin Aziz aka Kak Ikin. Proses yang telah berlangsung selama lebih kurang 2 jam itu telah membuahkan hasil yang terbaik dan segala transformasi telah dilaksanakan. Proses mengandam dimulakan dengan potong andam dan seterusnya proses bersolek. Memanglah satu proses yang agak memenatkan, akan tetapi demi untuk sesuatu yang terbaik, segala proses tersebut telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan daripada sesiapa. Memang satu pengalaman yang pasti takkan dapat dilupakan kerana setelah sekian lama menunggu tarikh tersebut, segala yang dirancang bakal terlaksana pada hari ini. Semua ahli keluarga juga sibuk menyiapkan diri masing-masing bagi menyaksikan detik bersejarah bagi keluarga kami kerana pada tika dan saat ini salah seorang daripada anakanda Haji Abdul Rahman dan Hajjah Halimah akan melangkah menuju gerbang perkahwinan. Proses bersolek yang telah dibuat dengan penuh kesabaran dan ketelitian, telah menghasilkan satu perbezaan yang amat ketara.
Setelah selesai menjalani proses andaman dan solekan, bonda tersayang adalah orang pertama yang melihat segala perubahan yang telah dilakukan dengan jayanya, dengan linangan air mata bonda mengucapkan rasa syukur dan sama sekali tidak menyangka bahawa puteri kesayangannya bakal menjadi seorang isteri dan juga suri tidak lama lagi. Hati ibu mana yang tidak tersentuh tatkala melihatkan anakanda yang selama ini menjadi teman berbicara akan dimiliki oleh jejaka pilihan hati. Senyuman yang terukir di wajah tulus bonda menandakan beliau amatlah berpuas hati segala yang telah dilakukan. Kasih sayang seorang ibu memanglah tiada batasannya walaupun sehingga akhir hayatnya. Wajah yang telah dihias bagaikan permaisuri dan disaluti dengan baju kurung chiffon berwarna putih berserta tudung bermanik dan layah menghiasi kepala hasil sentuhan Radzuan Radziwill. Inai merah menghiasi jari jemari dan tangan adalah sebagai tanda, seorang perawan bakal diijab kabulkan.
Debaran semakin dirasakan dengan dipimpin oleh bonda, selangkah demi selangkah disusuri anak tangga sebelum melangkah keluar menuju ke kenderaan khas yang telah lama dan setia menanti untuk dinaiki dengan dipandu sendiri oleh ayahanda tercinta sebagai simboliknya perjalanan ini sebelum bergelar seorang isteri. Jika sebelum ini, anakanda puteri buat ayahanda dan bonda tetapi sebentar lagi status Cik pada awalan nama akan bertukar kepada Puan..... Seperti masih di alam mimpi seorang anak kecil yang masih bersekolah dan berbasikal riang tanpa memikirkan soal jodoh dan melalui hidup berumahtangga. Masih terasa langkah-langkah kecil, apabila pagi hari menuruni tangga ini melangkah untuk ke sekolah dengan berbekalkan sebuah beg dan berbaju kurung putih berkain biru. Tetapi pagi 14 Jun 2008, langkah-langkah ini adalah langkah terakhir bergelar puteri perawan kerana sekembalinya lagi meniti tangga ini beliau telah bergelar isteri.
Semuanya adalah seperti yang telah dirancang, kenderaan khas terhias indah dengan untaian riben dan bunga-bungaan segar yang harum mewangi dikala mentari pagi baru menampakkan dirinya dan masih terbau kesegaran embun yang menitis dihujung rumput dihalaman rumah bonda. Tenang sungguh wajah ayahanda dan dengan setianya menantikan kehadiran anakanda puteri untuk dibawa pergi dan selepas ini akan kembali bersama teman sehidup semati yang bergelar suami. Seperti baru semalam dirasakan oleh ayahanda menimang anakanda puteri penghibur hati, teman bergelak ketawa dengan keletah yang lincah meniti gigi pantai tanpa berasa takut. Senyuman yang terukir di bibir ayahanda umpama menyembunyikan rasa gundah yang terbuku dihati.
Bunyi deruman enjin telah jelas kedengaran, lantas semakin cepat rasanya masa berlalu pergi kerana sebentar lagi akan melangkah menaiki kereta yang terhias indah itu. Seluruh tubuh dirasakan seperti kedinginan akan tetapi semangat perlu dikuatkan kerana setiap detik yang berlalu itu umpama tidak sabar lagi untuk pergi. Kereta BMW Z4 berwarna hitam yang telah dihias indah dengan bunga mawar putih telah bersedia untuk memutarkan rodanya setelah bakal pengantin perempuan melangkah masuk dan duduk di tempat sebelah ayahanda tercinta. Dengan senyuman ayahanda menyambut dan dengan penuh ketenangan, ayahanda memulakan perjalanan menuju destinasi Majlis Ijab Kabul iaitu Masjid Al-Mukminun.
Ditinggalkan kamar peraduan yang telah terhias indah yang bakal menyambut kehadiran suami tercinta. Cadar sutera berwarna putih bersih dengan diselangi dengan bantal tekat benang emas warisan pusaka Negeri Perak bakal menyimpan satu kenangan terindah bersama orang yang teramat dicintai. Jelas terasa haruman kuntuman mawar yang menghiasi segenap ruang kamar peraduan, untaian daun ivy menghiasi bingkai bunga. Ketenangan kamar peraduan itu bagaikan menyambut kehadiran sepasang merpati yang bakal menghuni untuk bermadu kasih melepaskan rindu dendam yang telah sekian lama terpendam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan