15 Jun 2008

Majlis Persandingan Episod 2

Saat - saat genting untuk memulakan majlis sudah berada di kemuncak, jam sudah hampir menunjukkan pukul 7:00 malam. Kelibat tetamu yang hadir sudah mula kelihatan, ayahanda dan bonda sudah bersedia di pintu masuk utama. Para urusetia sudah mengambil tempat masing - masing, meja pendaftaran sudah mula dikunjungi oleh tetamu yang telah tiba. Juruiring sudah bersedia untuk mengatur langkah mengiringi para tetamu. Cuaca di luar amat cerah sekali, bulan sudah mula menunjukkan dirinya. Alunan getaran dari pemain angklung solo sudah mula berkumandang, sudah tiba masa yang di tunggu - tunggu. Pasangan pengantin sudah mula mempersiapkan diri, sekali lagi sentuhan kreatif jari jemari Puan Ashikin Aziz menarikan tarian berusnya menyolek pengantin perempuan. Meja pendaftaran sudah mula dipenuhi tetamu, lincah anak mata mencari nama yang diberi, bertingkah tangan menghulurkan beg kertas berisi cenderahati. Dari hadapan meja hingga ke tangga para tetamu berdiri, sabar menunggu giliran untuk diiringi. Bersilang langkah juruiring, dengan senyuman yang manis menghantar tetamu ke meja yang ditetapkan. Minuman ringan diberi, buat penyejuk diri. Alunan angklung yang berbunyi, buat halwa telinga sementara menanti. Ayahanda dan bonda tak lekang senyuman menyambut ketibaan para tetamu saudara mara, rakan taulan dan sahabat handai yang tiba. Di kamar khas pengantin, lensa kamera tak putus - putus merakam gambar pasangan pengantin. Riuh rendah suara tetamu di luar dewan memeriahkan suasana, ada yang bertemu teman lama bertanya khabar berita. Bermacam gaya dan fesyen pakaian tetamu menjadi tatapan. Ada yang masih mengekalkan tradisi, malah ada yang serba moden tapi masih bertutup rapi. Dengan hormat juruacara menjemput para tetamu untuk memasuki dewan majlis, semakin ramai tetamu mula melangkah masuk. Bermacam warna kelihatan di layar lebar, kamera video di sana sini merakam memori. Masa sudah semakin dekat, tetamu kenamaan sudah mula tiba. Menjalar kereta, hampir serentak masa ketibaannya. Dengan hormat tetamu kenamaan diiringi ke kamar menunggu, sementara menantikan masa untuk masuk ke dalam dewan. Di dalam dewan sudah mula dipenuhi dengan para tetamu, masing - masing sabar menunggu sambil berbual sesama sendiri. Masa untuk memulakan majlis sudah semakin hampir, tetamu kenamaan yang dijemput kesemuanya sudah hadir. Pasangan pengantin dibawa masuk ke kamar menunggu tetamu kenamaan untuk diperkenalkan, dengan santun pasangan pengantin bersalaman bersama tetamu kenamaan. Bual bicara bertanya khabar pun bermula, bingkisan cenderahati khas buat tetamu kehormat bertukar tangan. Dewan sudah dipenuhi dengan tetamu dan hanya beberapa detik lagi majlis akan dimulakan. Ayahanda dan bonda sudah berada didalam kamar menunggu, beramah mesra dengan tetamu kenamaan. Selang beberapa ketika sesi bergambar bersama tetamu kenamaan pun diadakan, pantas lensa kamera merakam gambar, untuk diisi di dalam album sebagai kenangan. Selesai sesi bergambar, para tetamu kenamaan pun mula beratur dengan diiringi oleh ayahanda dan bonda pengantin perempuan. Pengumuman keberangkatan masuk telah pun dibuat, alunan muzik gamelan pun berkumandang memenuhi suasana dewan. Tanda penghormatan kepada pembesar, juruiring khas mengepalai perarakan masuk tetamu kenamaan. Dengan langkah yang teratur dan penuh dengan istiadat menyambut pembesar melayu, para tetamu kenamaan menyusuri laluan permaidani merah menuju ke ruang hadapan untuk istiadat merenjis pasangan pengantin kelak. Di sepanjang laluan, para tetamu tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan tetamu kenamaan. Sementara itu di luar dewan, pasangan pengantin telah bersedia untuk memulakan perarakan pengantin. Selesai tetamu kenamaan duduk, kedengaran paluan jidur mengiringi langkah pasangan pengantin dengan diketuai oleh empat orang pahlawan pembawa pohon beringin, empat orang dayang penabur bunga dan dua orang pahlawan pembawa pedang dan perisai. Pasangan pengantin diapit oleh sepasang pengapit, seorang pembawa payung, dua orang pembawa bunga manggar dan enam orang dayang yang membawa sirih junjung dan pohon bunga emas. Debaran jelas kelihatan disebalik senyuman pasangan pengantin, kerana sebentar lagi seluruh mata akan tertumpu kepada kedua mempelai. Sekelian yang hadir pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat pasangan pengantin baru. Umpama raja dan ratu, pasangan pengantin berjalan beriringan sambil berpegang tangan menuju ke pintu utama dewan. Semakin hampir dengan pintu gerbang, semakin kuat debaran yang dirasakan. Namun begitu senyuman masih jelas kelihatan di wajah kedua mempelai. Lensa kamera tidak putus - putus merakamkan wajah mempelai, suasana dalam dewan para tetamu tentunya tertanya - tanya. Tiada gambar yang kelihatan di layar lebar, hanya bunyi paluan jidur yang kedengaran. Pastinya ramai yang berfikir, bagaimanalah agaknya busana pengantin? Apakah bentuk perarakan pengantin kali ini? Adakah seperti yang selalu dilihat di mana - mana majlis perkahwinan? Tabuh telah dipalu, pengantin masih belum kunjung tiba. Mata mencari, hati bertanya.

Tiada ulasan: