15 Jun 2008

Majlis Persandingan Episod 3

Setelah pintu terbuka, sekelian yang hadir mula menumpukan perhatian di layar lebar dan ada juga yang cuba melihat sambil berdiri. Memanjangkan leher kerana tidak sabar untuk melihat, harapan meleset apabila penglihatan untuk melihat pengantin masih terhalang dengan dua orang pahlawan pembawa perisai dan pedang. Paluan jidur sudah berhenti, tetapi kelibat pasangan pengantin belum kelihatan. Perarakan masuk dimulakan dengan pembawa pohon beringin melalui permaidani merah, diikuti pula dengan empat orang dayang melalui permaidani merah sambil menabur kelopak bunga mawar dengan diiringi lagu tari bunga rampai. Sejurus selesai dayang - dayang masuk dengan tarian itu, kedengaran sekali lagi paluan jidur dan seterusnya pengumuman keberangkatan masuk pasangan mempelai. Kali ini barulah para tetamu dapat melihat pasangan pengantin, dengan busana indah hasil ciptaan Radzuan Radziwill pasangan pengantin melangkah masuk ke dalam dewan. Selepas beberapa langkah memasuki dewan, pasangan pengantin berhenti sejenak, bacaan selawat oleh Al - Fadhil Ustaz Amir Noor Hezam mula kedengaran. Selesai bacaan selawat, mula kedengaran muzik terinai memecah keheningan. Dua orang pahlawan yang mengetuai perarakan pengantin mula melangkah gagah mendahului perarakan, pasangan pengantin juga melangkah perlahan - lahan mengikut irama muzik terinai. Umpama raja berangkat memasuki balai rong seri, pasangan pengantin berarak bersama dayang - dayang menuju ke singgahsana. Senyuman manis tak lekang dari wajah kedua pasangan mempelai, ratusan pasang mata tertumpu kepada perarakan masuk pengantin. Dengan tertib langkah raja dan ratu sehari menaiki tangga singgahsana, dengan sopan pasangan pengantin duduk di atas pelamin. Juruacara memulakan majlis dengan mengalu - alukan kehadiran tetamu kehormat, penuh puitis dengan pantun dan gurindam. Majlis dimulakan dengan persembahan tarian selamat datang, sebagai penghargaan kepada para tetamu. Sebaik sahaja selesai persembahan, bacaan doa selamat telah dipimpin oleh Al - Fadhil Ustaz Amir Noor Hezam.
Istiadat merenjis telah dimulakan dengan menjemput Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah Haji Mohd Ali, diikuti pula oleh Y.B.M Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah dan Y.Bhg. Che Puan Sri Nur Abdullah. Istiadat merenjis diteruskan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato' Haji Hashim Meon dan Y.Bhg. Puan Sri Datin Hajjah Nur Aini, Y.Bhg. Dato' Haji Ahmad Salimi dan Y.Bhg. Datin Hajjah Badriyah ayahanda dan bonda pengantin lelaki turut dijemput untuk merenjis bagi merestui anakanda dan menantu. Sebagai mengakhiri istiadat merenjis, Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Rahman dan Y.Bhg. Puan Hajjah Halimah dipersilakan merenjis anakanda dan menantu, suasana menjadi agak sentimental bila lagu Ayah dan Ibu dendangan Allahyarham Sudirman berkumandang semasa ayahanda dan bonda pengantin perempuan naik merenjis. Selesai istiadat merenjis, para tetamu kenamaan bergerak menuju ke pentas meja utama dengan diiringi oleh ayahanda dan bonda pengantin perempuan. Seterusnya pasangan pengantin pula memulakan langkah turun dari singgahsana, menuju ke pentas meja utama untuk bersama - sama tetamu kenamaan bagi majlis jamuan makan malam.


Menu majlis makan malam itu dimulakan dengan hidangan Sup Udang Pedas Bersantan, diikuti pula dengan hidangan Nasi Minyak berlaukkan Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Sotong Kembang Sambal Berkacang, Udang Goreng Mentega dengan Daun Kari, Ayam Masak Merah dengan Kacang Peas, Ikan Tenggiri Acar Rampai Berempah dan Tumis Sayur Campur dengan Cendawan Putih. Manakala hidangan pencuci mulutnya adalah Karamel Kastard dengan Buah-Buahan & Ais Krim. Minuman pada malam itu adalah Air Sirap Selasih dan sebagai mengakhiri majlis makan malam tersebut para tetamu dihidangkan dengan Air Kopi atau Teh. Dalam pada itu, ayahanda dan bonda pengantin perempuan selaku tuan rumah, sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para tetamu sambil berjalan ke setiap meja dan bertanyakan khabar sambil bersalaman. Manakala pasangan pengantin sambil makan masih juga sempat untuk berbual - bual dengan tetamu kenamaan, seperti sudah kenal lama dan langsung tidak berasa kekok untuk berbual mesra dengan pembesar negara. Semasa majlis makan malam berlangsung, para tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional yang merangkumi enam jenis tarian. Tarian Asyik adalah tarian pembukaan, diikuti pula dengan Tarian Dabus, Tarian Randai dan Piring, Tarian Cinta Sayang, Tarian Zapin dan sebagai penutup pada persembahan tarian pada malam itu adalah Tarian Joget Sayang Di Sayang. Ternyata persembahan tarian itu dapat menghiburkan para tetamu yang hadir pada malam itu, kerana jarang sekali dapat melihat sesetengah tarian itu dipersembahkan di khalayak ramai terutama pada majlis perkahwinan.


Sebaik sahaja selesai persembahan, di kala para tetamu sedang menikmati hidangan pencuci mulut. Para tetamu dipersembahkan dengan video montaj majlis ijab kabul, yang telah diadakan pada 14 Jun 2008 di Masjid Al Mukminun USJ 2. Ramai yang terpesona dengan video montaj yang agak menyentuh hati hasil olahan oleh Adan Cameraworks, sesuatu yang menarik dan hasil kerja yang terbaik. Majlis pada malam itu diteruskan lagi dengan ucapan sekalung budi oleh Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Rahman bersama Y.Bhg. Puan Hajjah Halimah, berikut adalah petikan daripada ucapan beliau.




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Razaleigh bin Tengku Muhammad Hamzah, Yang Berbahagia Che Puan Sri Nur Abdullah, Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’ Sri dan Datin-Datin Sri, Dato’-Dato’ dan Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekelian.

Sekalung budi setulus hati dari saya dan isteri saya serta keluarga, di atas kesudian Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Razaleigh bin Tengku Muhammad Hamzah dan Yang Berbahagia Che Puan Sri Nur Abdullah, Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’ Sri dan Datin-Datin Sri, Dato’-Dato’ dan Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang hadir bagi menyerikan lagi majlis persandingan anakanda saya, Shahriyatul Akmal dengan pasangannya Midhat Murthada bin Dato’ Haji Ahmad Salimi pada malam ini. Budi baik semua akan kami kenang selama-lamanya.

Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada rombongan pengantin lelaki yang diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Ahmad Salimi bin Haji Ismail dan isteri Y. Bhg. Datin Hajjah Badriyah binti Haji Mat Tamin diatas kesudian untuk bersama-sama meraikan majlis ini.Tidak lupa saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada sekelian yang hadir di dalam dewan yang mulia ini. Saya bagi pihak keluarga menyatakan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan keberkatan limpah kurnia dan izin dariNya, kami telah menerima seorang lagi ahli dalam keluarga kami. Semoga dengan kehadiran beliau, keluarga kami akan bertambah ceria dan berbahagia untuk selamanya.

Saya memohon jasa baik daripada para hadirin sekelian, untuk sama-sama mendoakan supaya dilimpahkan keberkatan dan kebahagiaan serta dimurahkan rezeki buat pasangan mempelai hingga ke akhir hayat. Kepada kedua anakanda tersayang ayahanda bagi pihak semua ahli keluarga ingin menyampaikan sedikit pesanan buat panduan anakanda melayari bahtera hidup bersama. Dengarkan dan hayatilah maksud kata-kata ini.
Adat orang bersuami isteri,
Pahit manis sama dirasa,
Dalam surut ada pasangnya,
Dalam susah ada senangnya,
Dalam sempit ada lapangnya.

Kalau sedikit, sesudu seorang,
Kalau banyak, sesenduk seorang,
Kalau untung, sama-sama timbul,
Kalau rugi, sama-sama tenggelam.

Kalau tebu, seruas seorang,
Kalau nangka, seulas seorang,
Payung satu, sama berteduh,
Perahu satu, sama menyeberang.

Makan sepinggan,
Minum secawan.
Duduk setikar,
Tidur sebantal,
Sama melangkah seiring sejalan.

Mudah-mudahan....
Kasih abadi subur sentiasa,
Dendam berahi sepanjang masa.
Sayang kekal sampai kiamat,
Cinta tak putus sepanjang hayat.
Kepada keluarga besan saya iaitu Yang Berbahagia Dato’ Haji Ahmad Salimi bin Haji Ismail dan Y.Bhg. Datin diharap dapatlah jua kiranya sama-sama memberikan teguran, panduan, tunjuk ajar serta bimbingan kepada anakanda saya Shahriyatul Akmal supaya menjadi seorang isteri dan ibu yang terbaik demi kebahagiaan rumahtangga yang mereka bina ini dan seterusnya akan mengeratkan lagi tali persaudaraan yang terjalin, di antara keluarga saya dan keluarga Yang Berbahagia Dato’.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada pihak urusetia majlis yang dipengerusikan oleh anakanda Shahronizam Idham, saudara mara dan sahabat handai dan tidak lupa kepada staff saya di Crestmax Auto Sdn Bhd. Yang telah sudi bersama-sama, menjayakan majlis persandingan ini. Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada Pengurusan Pusat Konvensyen Sime Darby diatas segala kerjasama yang diberikan sepanjang majlis ini berlangsung. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada sesiapa saja yang terlibat yang namanya tidak sempat saya sebutkan. Terima kasih daun keladi, ada rezeki berjumpa lagi.

Kepada para tetamu yang kami muliakan, jutaan terima kasih di atas cenderahati dan ucapan tahniah yang kami terima daripada hadirin sekelian yang amat kami hargai.

Di kesempatan ini kami menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat apa-apa jua kekurangan di sepanjang majlis ini berlangsung.

Kami memohon maaf kalau
Kuah terlebih garam
Gulai terlebih pedas
Manisan terlebih gula
Nasi ada yang mentah

Kami memohon maaf
Kalau ada wajah yang tersalah pandang
Kalau ada nama yang tersalah sebut
Kalau ada gelar yang tersalah ucap,
Kalau ada duduk disalah tempat

Saya dengan rasa rendah hati, memohon ampun dan maaf dan sebelum mengundurkan diri saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun,

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek bawa ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Satu tepukan yang gemuruh telah diberikan oleh para tetamu setelah Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Rahman, ayahanda pengantin perempuan mengakhiri ucapan. Ada sesetengah tetamu mengatakan ucapan tersebut ringkas dan padat dengan mesej yang hendak disampaikan.

Tanpa apa - apa pengumuman daripada juruacara majlis, tiba - tiba seluruh lampu dewan dipadamkan. Hanya kedengaran adalah gesekan biola solo yang mendendangkan lagu Endless Love secara instrumental, lantas pasangan pengantin bangun dari tempat duduk di pentas meja utama berjalan turun bersama dengan hanya berpandukan lampu sorot. Di dalam kegelapan dewan itu pasangan pengantin berjalan beriringan menuju ke pentas utama, sambil sekelian yang hadir masih tertanya - tanya. Apakah lagi acara selepas ini? Persoalan itu hanya terjawab setelah pasangan pengantin berada di atas pentas kek perkahwinan dan juruacara majlis mengumumkan bahawa pasangan pengantin ingin mengabadikan majlis persandingan mereka dengan memotong kek perkahwinan. Sejurus selepas pengumuman itu, kelihatan seorang kanak - kanak lelaki berbaju melayu lengkap membawa sebilah pedang panjang berjalan menuju ke pentas kek perkahwinan lalu menyerahkan pedang tersebut kepada pengantin lelaki untuk memulakan upacara memotong kek. Dengan penuh tertib, pasangan pengantin memotong kek perkahwinan setinggi enam tingkat itu dan mengambil sedikit daripada kek tersebut dan menyuapkan kepada pasangannya. Sekali lagi tepukan gemuruh telah diberikan oleh para tetamu.

Tiada ulasan: