14 Jun 2008

Majlis Ijab Kabul Episod 3

Saat yang ditunggu-tunggu sudah tiba, bila mana pengantin perempuan yang telah bergelar seorang isteri akan menerima kehadiran suami bagi menzahirkan upacara membatalkan air sembahyang dan menyarungkan cincin perkahwinan. Selesai solat sunat, pengantin lelaki berjalan menuju ke peterana tempat duduknya pengantin perempuan. Upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin pernikahan bakal bermula. Dengan penuh ketenangan dan senyuman yang diberikan sebagai menyambut kehadiran suami tercinta, semua mata tetamu tertumpu kepada upacara tersebut. Kerana selepas upacara Ijab Kabul, upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin ini juga tidak kurang pentingnya di dalam sesebuah majlis perkahwinan. Pengantin lelaki duduk di atas peterana bersama pengantin perempuan dan seterusnya memulakan upacara dengan menyerahkan wang mas kahwin dan menyarungkan cincin perkahwinan. Pengantin perempuan seterusnya bersalaman dan mengucup tangan suami dan dibalas pula dengan kucupan kasih seorang suami di dahi isterinya. Pengantin perempuan juga telah menyarungkan sebentuk cincin ke jari manis suaminya dan sebagai simbolik ucapan terima kasih dari suaminya, satu kucupan di pipi pula yang diterima. Senyuman terukir tanda menerima dan usailah sudah upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin perkahwinan.

Seterusnya pasangan pengantin bertemu dengan ayahanda dan bonda kedua belah pihak bagi memohon restu dan sebagai tanda hormat, pasangan pengantin memulakan langkah dengan menemui ayahanda dan bonda pengantin perempuan terlebih dahulu. Tangan dikucup pelukan kasih bonda jelas menggambarkan kesayuan hati melepaskan anakanda puteri pergi, menjadi isteri. Wajah ayahanda tetap tenang walaupun dihati yang dia yang mengetahui. Seterusnya pasangan pengantin menemui ayahanda dan bonda pengantin lelaki, jelas tergambar rasa gembira bonda kerana telah menerima seorang menantu perempuan yang akan menjaga segala keperluan anakanda puteranya. Yang pasti, doa restu dari seluruh ahli keluarga amatlah penting demi membentuk sebuah ikatan kekeluargaan. Sebagai mengakhiri majlis, sesi bergambar bersama keluarga diadakan sebagai kenang-kenangan.




Berikut adalah gambar-gambar barang hantaran yang telah diberikan oleh pihak pengantin lelaki.









Manakala sebagai balasan, berikut adalah bingkisan hantaran daripada pengantin perempuan.










Majlis jamuan makan tengahari telah diadakan di perkarangan masjid. Semua yang hadir telah menjamu selera dengan hasil "air tangan" dari Tim's Catering. Hidangan makan tengahari itu adalah Nasi Bukhari, Bamia Kambing, Ayam Kuzi, Daging Masak Merah, Salad Tauhu, Acar Buah, Garam Berlada, Air Sirap Limau dan sebagai pencuci mulut dihidangkan Kuih Talam Ubi dan Buah-Buahan berserta dengan Teh Tarik. Sebagai buah tangan setiap tetamu dihadiahkan dengan sebuah beg kertas berisi senaskah Surah Yaasin, Kuih Bahulu dan Bunga Telur berisi gula-gula. Di Meja Utama adalah pasangan pengantin bersama dengan ahli keluarga pengantin lelaki.

Tiada ulasan: