Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Sime Darby tempat berlangsungnya Majlis Persandingan pada 15 Jun 2008. Segala persiapan telah bermula seawal jam 10:00 malam, 14 Jun 2008 dengan membina pentas dan pelamin serta gubahan bunga. Suasana bising memecah keheningan malam di dalam dewan tersebut, kesemua tenaga kerja yang terlibat komited dengan tugas demi memastikan agar segala persiapan dapat diselesaikan sebelum jam 10:00 pagi bagi memberi laluan kepada upacara raptai yang akan berlangsung. Kecekapan krew dan tenaga kerja yang diketuai oleh Cik Rozalinda dan Encik Zulkifli memberangsangkan. Sebagai mengalas perut sambil menyiapkan kerja, mereka disajikan dengan Kopi O panas dan roti canai. Tugas yang telah dibahagikan sebelum ini dapat melancarkan proses persiapan, ada diantaranya mengisi beg-beg kertas dengan bunga telur dan cenderahati, memasang tirai, menggubah bunga dan kerja pendawaian lampu bagi kegunaan pelamin. Semua persiapan tersebut dapat diselesaikan tepat jam 9:30 pagi. Sememangnya hasil daripada kerjasama semua tenaga kerja amatlah membanggakan, tanpa mengira mengantuk dan keletihan berjaga malam. Hasil kerja yang terbaik berjaya mencetuskan sesuatu yang di luar jangkaan. Sekalung tahniah buat semua krew dan tenaga kerja.
Pasangan pengantin dan keluarga tiba di Pusat Konvensyen Sime Darby pada jam 10:30 pagi, suasana persiapan pada masa itu telah pun selesai. Krew teknikal juga telah mula tiba dan membuat pemeriksaan bunyi dan lampu, hanya terdapat sebahagian sahaja krew yang menjalani proses sentuhan terakhir bagi hiasan dewan dan pelamin sebelum raptai bermula, raptai perarakan bermula pada jam 11:00 pagi. Diikuti pula dengan raptai persembahan tarian. Pasangan pengantin dan keluarga berkenan untuk menyaksikan raptai tersebut, pada masa yang sama terdapat beberapa pertukaran mengenai susun atur tempat penari-penari oleh kerana pentas yang digunakan agak besar. Suasana diluar dewan masih tenang, cuma kadangkala terdapat segelintir pengunjung yang suka menyibuk atau lebih tepat busybody mengintai dalam dewan. Akan tetapi masih dapat dikawal dan pihak urusetia terpaksa memantau, semua pergerakan keluar masuk didalam dewan oleh kerana faktor keselamatan. Sesi raptai pada pagi itu terpaksa diadakan sebanyak 2 kali dan raptai tamat pada jam 1:30 petang.Pada masa yang sama, pihak urusetia telah menyediakan makan tengahari kepada krew teknikal dan penari-penari, sajian tengahari itu berupa nasi ayam yang telah dibungkus siap. Pasangan pengantin serta keluarga telah menjamu selera di Restoren Chinese Treasure. Oleh kerana hari itu juga merupakan Hari Bapa atau Father's Day maka kedua - dua restoran telah penuh ditempah jadi hanya sebahagian sahaja ahli keluarga pengantin dapat menikmati makan tengahari di situ. Di dalam dewan masih terdapat segelintir krew teknikal dan krew hiasan dewan menjalankan tugas, pada jam 2:30 petang Pengerusi Urusetia telah mengadakan taklimat ringkas bersama ahli - ahli urusetia dan mengedarkan tag bagi kegunaan semasa majlis berlangsung. Selepas selesai taklimat, arahan terkini telah dikeluarkan oleh ayahanda pengantin perempuan untuk mengadakan sekali lagi raptai pada jam 3:00 petang, walaupun kekurangan jumlah peserta raptai termasuk ketiadaan juruacara. Raptai masih tetap dijalankan dan kali ini bersama dengan krew teknikal yang mengendalikan lampu tumpu dan alatan siaraya. Selesai raptai terakhir ini, pasangan pengantin dan ahli keluarga telah beredar ke Hotel Eastin yang terletak berhampiran Pusat Konvensyen Sime Darby untuk berehat sejenak. Masa terasa berlalu terlalu cepat, jam telah menunjukkan pukul 4:40 petang. Pelayan - pelayan yang terdiri daripada kakitangan Pusat Konvensyen Sime Darby telah mula memenuhi bahagian dalam dewan, masing-masing mula sibuk membuat penyusunan terakhir di meja tetamu. Penyelia pelayan iaitu Encik Sobri telah memberikan taklimat kepada pelayan - pelayan mengenai tugasan dan susun atur agar setiap meja mendapat perhatian kelak. Sementara itu, para urusetia, krew teknikal, penari - penari, penyambut tetamu telah menjamu selera secara bufet di Restoran Halia, kemudian diikuti pula dengan persiapan diri sebelum majlis bermula. Persiapan di dalam dewan telah selesai dan hanya menunggu majlis yang akan dimulakan pada jam 7:30 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan