Ketibaan pengantin perempuan dengan kenderaan khas telah disambut oleh Pengerusi Urusetia Khas Majlis dan kemudiannya ditempatkan di dalam sebuah bilik menunggu khas, sebelum bermulanya majlis dan sementara menunggu kehadiran tetamu
serta rombongan pengantin lelaki. Dalam pada itu juga satu perbincangan telah berlangsung diantara Pengerusi Urusetia Khas Majlis dengan Al-Fadhil Ustaz Amir Noor Hezam bin Amir Edaham yang juga adalah perantara semasa majlis berlangsung kelak. Majlis perbincangan itu telah berlangsung kira-kira 20 minit dengan disaksikan oleh bonda dan pengantin perempuan sendiri. Perbincangan yang melibatkan susunan aturcara majlis dan
beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum majlis bermula sekiranya terdapat sebarang pertukaran disaat akhir. Sementara menantikan ketibaan para tetamu dan juga rombongan pengantin lelaki, para jejawat dan dayang-dayang bersiap sedia dengan mengenakan busana yang direka khas untuk majlis ijab kabul ini. Raptai penuh juga telah diadakan sebelum bermulanya majlis.
Ketibaan rombongan pengantin lelaki, dengan dimulakan oleh
perarakan berkereta dan disusuli oleh pembawa barang hantaran. Setibanya rombongan di perkarangan masjid, pengantin lelaki serta rombongannya disambut
oleh wakil keluarga pengantin perempuan dan seterusnya barangan hantaran disambut oleh para jejawat yang menunggu di ruang legar masjid. Rombongan pengantin lelaki kemudiannya dibawa masuk kedalam dewan solat utama, dengan diketuai oleh bapa pengantin lelaki selaku ketua
rombongan. Ucapan alu-aluan daripada pihak pengantin perempuan sebagai pembuka tirai majlis telah disempurnakan oleh Al-Fadhil Ustaz
Haji Arshad bin Haji Ahmad selaku wakil keluarga pengantin perempuan sebagai mengalukan kehadiran rombongan pengantin perempuan. Seterusnya ucapan balas oleh Y.Bhg. Dato' Haji Ahmad Salimi bin Haji Ismail, selaku ketua rombongan pengantin lelaki. Didalam ucapannya beliau ada menyatakan mengenai jumlah mas kahwin dan wang
hantaran, berserta 11 dulang barangan hantaran yang dibawa bersama sebagai bingkisan daripada pihak pengantin lelaki. Wang tunai sebanyak RM1000.00 yang digubah menjadi sejambak bunga ros, berserta sekeping cek bernilai RM9000.00 bersama sebentuk cincin dan seutas gelang
yang bertatahkan permata. Selesai ucapan balas, para jejawat memulakan langkah membawa masuk barang hantaran dan diletakkan dihadapan keluarga pengantin perempuan. Manakala dayang-dayang pembawa hantaran membawa masuk 15 dulang barang hantaran balasan dan diletakkan dihadapan keluarga pengantin lelaki. Susunan perarakan masuk barang hantaran dengan dibawa oleh para jejawat dan dayang-dayang yang lazimnya digunakan oleh golongan bangsawan
dan kerabat diraja, telah menjadikan majlis ijab kabul tersebut lebih teratur dan menarik. Dilengkapi dengan busana sedondon dan ditambah pula dengan pemakaian sibar dayang berwarna kuning, para jejawat dan dayang yang membawa hantaran kelihatan seperti jejawat dan dayang istana. Oleh kerana barangan hantaran yang banyak, maka para jejawat dan dayang-dayang terpaksa meletakkan hantaran berselang seli dan setiap hantaran dan sirih junjung dikenali sebagai kepala hantaran.
Seterusnya pengumuman ketibaan Al-Fadhil Ustaz Khairul Jahrin bin Nasri, Pendaftar Nikah, Cerai dan
Rujuk Jabatan Agama Islam Selangor, bapa
pengantin perempuan selaku wali dan para saksi turut mengambil tempat masing-masing. Seterusnya keberangkatan masuk pengantin lelaki dengan memakai baju melayu putih sedondon dan bersampin songket putih seterusnya duduk diatas tikar sila yang telah tersedia. Akhir sekali, keberangkatan masuk pengantin perempuan dan duduk diatas peterana dengan diiringi oleh pengapit pengantin perempuan. Majlis dimulakan dengan khutbah nikah oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Selangor. Selesai khutbah nikah, majlis ijab kabul di mulakan.
Dengan sekali lafaz, "Saya terima nikahnya Shahriyatul Akmal binti Abdul Rahman, dengan mas kahwinnya Satu Ribu Ringgit tunai".
Maka rasmilah sudah pasangan pengantin menjadi suami isteri. Selesai sahaja majlis ijab kabul, berkumandanglah selawat dan seterusnya bacaan doa telah dizahirkan.
Sebaik sahaja selesai bacaan doa, pengantin lelaki membaca ikrar takliq dan menurunkan tandatangan diatas borang ikrar tersebut. Kemudian pengantin lelaki bersalaman dengan bapa mertua, jurunikah dan saksi. Pengantin lelaki melangkah keluar ke ruang solat untuk menunaikan solat sunat, sementara itu
ayahanda dan bonda menarik nafas lega kerana satu upacara penting dalam diari hidup mereka tatkala anakanda puteri telah selamat diijab kabulkan. Segala tanggungjawab ayahanda dan bonda, kini telah beralih kepada suaminya. Dengan doa restu dari kedua belah keluarga, diharapkan agar hubungan perkahwinan yang dijalinkan ini akan berkekalan sehingga akhir hayat mereka. Insyaallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan