15 Jun 2008
Majlis Persandingan Episod 4
Majlis Persandingan Episod 3
Menu majlis makan malam itu dimulakan dengan hidangan Sup Udang Pedas Bersantan, diikuti pula dengan hidangan Nasi Minyak berlaukkan Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Sotong Kembang Sambal Berkacang, Udang Goreng Mentega dengan Daun Kari, Ayam Masak Merah dengan Kacang Peas, Ikan Tenggiri Acar Rampai Berempah dan Tumis Sayur Campur dengan Cendawan Putih. Manakala hidangan pencuci mulutnya adalah Karamel Kastard dengan Buah-Buahan & Ais Krim. Minuman pada malam itu adalah Air Sirap Selasih dan sebagai mengakhiri majlis makan malam tersebut para tetamu dihidangkan dengan Air Kopi atau Teh. Dalam pada itu, ayahanda dan bonda pengantin perempuan selaku tuan rumah, sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para tetamu sambil berjalan ke setiap meja dan bertanyakan khabar sambil bersalaman. Manakala pasangan pengantin sambil makan masih juga sempat untuk berbual - bual dengan tetamu kenamaan, seperti sudah kenal lama dan langsung tidak berasa kekok untuk berbual mesra dengan pembesar negara. Semasa majlis makan malam berlangsung, para tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional yang merangkumi enam jenis tarian. Tarian Asyik adalah tarian pembukaan, diikuti pula dengan Tarian Dabus, Tarian Randai dan Piring, Tarian Cinta Sayang, Tarian Zapin dan sebagai penutup pada persembahan tarian pada malam itu adalah Tarian Joget Sayang Di Sayang. Ternyata persembahan tarian itu dapat menghiburkan para tetamu yang hadir pada malam itu, kerana jarang sekali dapat melihat sesetengah tarian itu dipersembahkan di khalayak ramai terutama pada majlis perkahwinan.
Sebaik sahaja selesai persembahan, di kala para tetamu sedang menikmati hidangan pencuci mulut. Para tetamu dipersembahkan dengan video montaj majlis ijab kabul, yang telah diadakan pada 14 Jun 2008 di Masjid Al Mukminun USJ 2. Ramai yang terpesona dengan video montaj yang agak menyentuh hati hasil olahan oleh Adan Cameraworks, sesuatu yang menarik dan hasil kerja yang terbaik. Majlis pada malam itu diteruskan lagi dengan ucapan sekalung budi oleh Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Rahman bersama Y.Bhg. Puan Hajjah Halimah, berikut adalah petikan daripada ucapan beliau.
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Razaleigh bin Tengku Muhammad Hamzah, Yang Berbahagia Che Puan Sri Nur Abdullah, Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’ Sri dan Datin-Datin Sri, Dato’-Dato’ dan Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekelian.
Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada rombongan pengantin lelaki yang diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Ahmad Salimi bin Haji Ismail dan isteri Y. Bhg. Datin Hajjah Badriyah binti Haji Mat Tamin diatas kesudian untuk bersama-sama meraikan majlis ini.Tidak lupa saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada sekelian yang hadir di dalam dewan yang mulia ini. Saya bagi pihak keluarga menyatakan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan keberkatan limpah kurnia dan izin dariNya, kami telah menerima seorang lagi ahli dalam keluarga kami. Semoga dengan kehadiran beliau, keluarga kami akan bertambah ceria dan berbahagia untuk selamanya.
Saya memohon jasa baik daripada para hadirin sekelian, untuk sama-sama mendoakan supaya dilimpahkan keberkatan dan kebahagiaan serta dimurahkan rezeki buat pasangan mempelai hingga ke akhir hayat. Kepada kedua anakanda tersayang ayahanda bagi pihak semua ahli keluarga ingin menyampaikan sedikit pesanan buat panduan anakanda melayari bahtera hidup bersama. Dengarkan dan hayatilah maksud kata-kata ini.
Pahit manis sama dirasa,
Dalam surut ada pasangnya,
Dalam susah ada senangnya,
Dalam sempit ada lapangnya.
Kalau sedikit, sesudu seorang,
Kalau banyak, sesenduk seorang,
Kalau untung, sama-sama timbul,
Kalau rugi, sama-sama tenggelam.
Kalau tebu, seruas seorang,
Kalau nangka, seulas seorang,
Payung satu, sama berteduh,
Perahu satu, sama menyeberang.
Makan sepinggan,
Minum secawan.
Duduk setikar,
Tidur sebantal,
Sama melangkah seiring sejalan.
Mudah-mudahan....
Kasih abadi subur sentiasa,
Dendam berahi sepanjang masa.
Sayang kekal sampai kiamat, Cinta tak putus sepanjang hayat.
Di kesempatan ini kami menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat apa-apa jua kekurangan di sepanjang majlis ini berlangsung.
Kami memohon maaf kalau
Kuah terlebih garam
Gulai terlebih pedas
Manisan terlebih gula
Nasi ada yang mentah
Kami memohon maaf
Kalau ada wajah yang tersalah pandang
Kalau ada nama yang tersalah sebut
Kalau ada gelar yang tersalah ucap, Kalau ada duduk disalah tempat
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek bawa ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Satu tepukan yang gemuruh telah diberikan oleh para tetamu setelah Y.Bhg. Tuan Haji Abdul Rahman, ayahanda pengantin perempuan mengakhiri ucapan. Ada sesetengah tetamu mengatakan ucapan tersebut ringkas dan padat dengan mesej yang hendak disampaikan.
Tanpa apa - apa pengumuman daripada juruacara majlis, tiba - tiba seluruh lampu dewan dipadamkan. Hanya kedengaran adalah gesekan biola solo yang mendendangkan lagu Endless Love secara instrumental, lantas pasangan pengantin bangun dari tempat duduk di pentas meja utama berjalan turun bersama dengan hanya berpandukan lampu sorot. Di dalam kegelapan dewan itu pasangan pengantin berjalan beriringan menuju ke pentas utama, sambil sekelian yang hadir masih tertanya - tanya. Apakah lagi acara selepas ini? Persoalan itu hanya terjawab setelah pasangan pengantin berada di atas pentas kek perkahwinan dan juruacara majlis mengumumkan bahawa pasangan pengantin ingin mengabadikan majlis persandingan mereka dengan memotong kek perkahwinan. Sejurus selepas pengumuman itu, kelihatan seorang kanak - kanak lelaki berbaju melayu lengkap membawa sebilah pedang panjang berjalan menuju ke pentas kek perkahwinan lalu menyerahkan pedang tersebut kepada pengantin lelaki untuk memulakan upacara memotong kek. Dengan penuh tertib, pasangan pengantin memotong kek perkahwinan setinggi enam tingkat itu dan mengambil sedikit daripada kek tersebut dan menyuapkan kepada pasangannya. Sekali lagi tepukan gemuruh telah diberikan oleh para tetamu.
Majlis Persandingan Episod 2
Majlis Persandingan Episod 1
14 Jun 2008
Majlis Ijab Kabul Episod 4 (Finale)
Majlis Ijab Kabul Episod 3
Berikut adalah gambar-gambar barang hantaran yang telah diberikan oleh pihak pengantin lelaki.
Manakala sebagai balasan, berikut adalah bingkisan hantaran daripada pengantin perempuan.
Majlis jamuan makan tengahari telah diadakan di perkarangan masjid. Semua yang hadir telah menjamu selera dengan hasil "air tangan" dari Tim's Catering. Hidangan makan tengahari itu adalah Nasi Bukhari, Bamia Kambing, Ayam Kuzi, Daging Masak Merah, Salad Tauhu, Acar Buah, Garam Berlada, Air Sirap Limau dan sebagai pencuci mulut dihidangkan Kuih Talam Ubi dan Buah-Buahan berserta dengan Teh Tarik. Sebagai buah tangan setiap tetamu dihadiahkan dengan sebuah beg kertas berisi senaskah Surah Yaasin, Kuih Bahulu dan Bunga Telur berisi gula-gula. Di Meja Utama adalah pasangan pengantin bersama dengan ahli keluarga pengantin lelaki.